Dosa Muhyiddin kerana tak campur kes mahkamah pemimpin Umno

0
1

TAN Sri Muhyiddin Yassin memang ada dosanya kepada Umno dan sebab itulah Umno berkomplot menjatuhkan beliau daripada menjadi Perdana Menteri, kata Ketua Penerangan PAS, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin.

Namun katanya, apakah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dikira berdosa kerana meluluskan pakej-pakej membantu rakyat menghadapi wabak Covid-19 sebanyak RM850 bilion melalui PRIHATIN sehingga PEMERKASA+.

Katanya, apakah Muhyiddin dikira berdosa kerana menghapuskan RM8.3 bilion hutang-hutang peneroka FELDA.

“Apakah beliau dikira berdosa kerana menyediakan peluang pekerjaan sebanyak 400,000 ketika pandemik melalui Majlis Pekerjaan Negara?

“Jawapannya tidak! Beliau berdosa kepada Umno adalah kerana tidak mahu campur dalam urusan perbicaraan kes mahkamah pemimpin-pemimpin Umno,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Terdahulu beliau berceramah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.

Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, rakyat hari ini ramai sudah matang dan celik dalam politik yang mana mereka telah merasai kepimpinan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan PN mentadbir negara.

“Ternyata PH telah menjadikan 22 bulan di era mereka itu sebagai mimpi ngeri yang tidak ingin diulangi oleh rakyat. Malaysia seperti telah hilang identiti dan tercalar imejnya angkara “kehebatan” kerajaan PH.

“Umno pula, sedihnya mereka telah tergelincir daripada landasan agenda besar Penyatuan Ummah yang kita gagaskan bersama dalam Muafakat Nasional (MN),” katanya.

Menurutnya, Umno rakus dan tamak dengan kuasa politik serta gelojoh ingin menggunakan pengaruh kuasa politik sebagai “exit plan” kepada perbicaraan kes pemimpin-pemimpin mereka.

“Mereka sebenarnya telah hilang hilang kepercayaan kepada institusi kehakiman negara.

“Rakyat johor harus pilih yang terbaik! Pilih parti yang mempunyai integriti yang tinggi dan terbukti prihatin kepada keperluan rakyatnya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here