Imigresen serbu universiti ternama di Semenyih

0
1

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu sebuah universiti swasta ternama di Semenyih, Selangor pada Isnin lalu dan menahan seramai 33 warga asing pelbagai warganegara yang bekerja sebagai tukang cuci dan tukang kebun.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata serbuan dijalankan bermula jam 11 pagi dengan kekuatan seramai 28 Pegawai Imigresen dan telah memeriksa 40 orang warga asing berusia lingkungan 22 hingga 67 tahun.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, seramai 33 orang warga asing ditahan terdiri daripada 27 warganegara Indonesia, empat warganegara Pakistan, seorang Bangladesh dan seorang lagi warganegara Nepal.

Beliau berkata, universiti tersebut berkeluasan 118 ekar dan terbahagi kepada 10 blok utama dan berdasarkan pemantauan serta risikan mendapati kesemua warga asing berkenaan bekerja dari jam 7 pagi sehingga 4.30 petang dalam kawasan universiti terbabit.

“Semasa serbuan dilakukan, warga asing yang bekerja sebagai tukang kebun cuba melarikan diri dengan memanjat bukit yang terletak di belakang bangunan asrama pelajar, manakala tukang cuci cuba mengaburi mata pegawai penguatkuasa dengan membuka pakaian seragam mereka dan menggunakan pakaian biasa.

“Ada juga yang bersembunyi di dalam bilik kecil namun segala usaha warga asing ini berjaya dipatahkan dengan tindakan pantas anggota serbuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil maklumat risikan yang diperolehi, pekerja warga asing berkenaan telah bekerja di universiti terbabit lebih kurang dua tahun dan tidak pernah memiliki pas serta tiada dokumen pengenalan diri.

“Syarikat yang menggajikan warga asing ini juga dikatakan tidak pernah memohon Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi pekerjanya.

“Sebanyak tujuh saman saksi dikenakan ke atas pengurus dan penyelia di syarikat tersebut bagi mengesan majikan sebenar,” katanya.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

“Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here