Anwar sokong pengeluaran KWSP

0
1

KETUA Pemangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini agak keberatan menyokong langkah membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kini mendukung agar ia dibenarkan sesegera mungkin.

Beliau yang juga Presiden PKR dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, pengeluaran kali terakhir itu perlu diberikan segera oleh kerajaan tanpa ada apa-apa halangan dan kerenah birokrasi.

“Saya ambil maklum bahawa terdapat desakan di kalangan rakyat yang mahukan pengeluaran KWSP dibenarkan oleh kerajaan.

“Seperti yang saya pernah kemukakan soal ini tahun lalu di Dewan Rakyat, saya agak keberatan untuk mendukung langkah ini kerana ia pasti memberi kesan kepada simpanan mereka di masa hadapan meski saya tahu pendirian ini sangat tidak popular di kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut meletakkan syarat kepada kerajaan ketika itu untuk menampung kerugian yang dialami rakyat akibat banjir sekiranya kerajaan enggan untuk membenarkan pengeluaran KWSP.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, namun setelah berbulan berlalu, nampaknya kerajaan dan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak mempedulikan desakan berkenaan dan bilangan rakyat mengeluh kepadanya semakin ramai.

“Dan saya terus mendengar keluhan di kalangan rakyat yang hari ini berada dalam keadaan yang amat terdesak dan menekan, terutamanya dalam jelajah saya di seluruh Johor yang sedang berlangsung.

“Justeru, setelah kita melihat bahawa kerajaan seolah tidak ada jalan untuk merungkai kegagalan ini, saya kini mendukung agar pengeluaran ini dibenarkan sesegera mungkin dan tanpa ada apa-apa halangan dan kerenah birokrasi.

“Kerajaan juga mesti ambil kira nasib golongan rakyat yang tidak mencarum,” katanya. – Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here