Guan Eng gesa Najib digantung dari Parlimen jika tidak hadir hari ini

0
2

AHLI Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digantung daripada sidang Parlimen kerana bersikap ‘keras kepala dan degil’.

Ia susulan kenyataan Najib yang hanya akan menjelaskan skandal 1MDB kepada Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selesai, walaupun dijadualkan menjelaskan perkara itu semasa persidangan hari ini.

“Jelas sekali Najib lebih mementingkan kempen dalam PRN Johor, daripada menghormati ketuanan Parlimen dan membuat kenyataan yang benar sebagai Ahli Parlimen.

“Dengan memilih untuk mengingkari arahan speaker, beliau telah melanggar Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 43, di mana keputusan Speaker adalah muktamad berhubung pematuhan peraturan perintah itu.

“Sekiranya Najib enggan menarik balik sikap keras kepala dan degilnya, beliau harus segera dihukum dengan penggantungan daripada Parlimen sehingga dia akur,” katanya dalam kenyataan.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, penggantungan serta-merta diperlukan daripada Parlimen sementara menunggu Najib dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen.

Guan Eng mempersoalkan kuasa Najib yang membuatkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menunggu maklum balasnya mengenai isu 1MDB.

“Adakah Najib menganggap ‘Bossku’ lebih besar daripada speaker?” katanya.

Guan Eng berkata, dakwaan Ahli Parlimen Pekan itu di Dewan Rakyat bahawa tiada dana awam digunakan untuk membayar hutang 1MDB adalah tidak berasas dan tidak mempunyai merit kerana ia disangkal secara terbuka Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zaful Tengku Abdul Aziz .

Guan Eng berkata, menurut Kementerian Kewangan, hanya RM19.14 bilion dana telah diperoleh semula setakat ini dan dimasukkan ke dalam akaun amanah pemulihan aset.

Ini berbeza dengan RM23 bilion daripada RM52 bilion yang didakwa Najib sebelum ini.

Semalam, Najib memaklumkan beliau akan menghubungi Speaker berhubung tuntutan Azhar supaya beliau menjelaskan perkara itu semasa persidangan Parlimen hari ini.

Menurut Najib, beliau hanya boleh menjelaskan kepada Dewan Rakyat mengenai kenyataannya bahawa hutang 1MDB tidak dibayar menggunakan wang pembayar cukai selepas PRN Johor selesai.

Terdahulu, Azhar dilaporkan menulis surat kepada Najib meminta beliau memberi penjelasan kepada Dewan Rakyat, hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here