SELEPAS tersebar berita digugurkan sebagai pengacara program realiti MIC ON!, Azwan Ali atau lebih dikenali dengan Diva AA tampil mendakwa keputusan itu langsung tidak menjejaskan apa-apa.
Azwan, 56, juga memberi amaran kepada pihak produksi syarikat televisyen Awesome TV agar tunggu sahaja ‘karma’ kerana mengugurkannya daripada rancangan tersebut.
“Pihak mereka boleh cakap apa je, saya persilakan. Tunggulah saja nasib mereka, karma itu pasti akan ada. Allah maha kuasa.
“Saya ni tidak ada rasa apa pun, saya ni masih lagi kaya-raya dan telah disambar banyak produksi. Saya langsung tidak hairan dan tak hadap sebenarnya tawaran ciput ni. Sebenarnya saya buat ni pun hanya demi peminat saya.
“Mereka juga boleh nak pertahankan crew serta wakil pengurusan, namun ingat, saya ni ada prinsip hidup sendiri. Jangan main-main dengan saya,” katanya semalam.
Mengulas lanjut, Azwan Ali meminta pihak produksi televisyen itu membayar bayarannya secepat mungkin atau dia akan membuat laporan polis.
“Bayar hutang saya sebelum saya buat report polis. Payment dah lah ciput. Jangan sesekali nak menggelupur gunakan orang, saya tidak hadap.
“Penonton semua tonton MIC ON! kerana ada saya. Jadi janganlah nak kurang ajar dengan saya. Mereka ingat mereka ni besar sangat. Mereka boleh aniaya saya, tunggu karma yang akan menanti mereka,” ujarnya lagi.
Katanya, dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika bayarannya tidak dijelaskan.
“Ada benda dah terjadi, tapi jangan tanya saya, tanya mereka, apa terjadi dalam Awesome TV punya management. Saya tidak mahu dedahkan, sila suruh mereka buat kenyataan media.
“Saya boleh datang ke balai polis bila-bila masa saja dan boleh guna khidmat peguam saya. Selagi saya tak dapat bayaran jangan terkejut kalau ini jadi kes polis nanti,” katanya.
Semalam, pihak Awesome TV mengambil keputusan untuk menggugurkan Azwan Ali daripada tugas pengacaraan bagi program realiti MIC ON! berkuatkuasa serta merta.
Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor utama demi memastikan keharmonian penerbitan keseluruhan program MIC ON! untuk musim ini dapat diteruskan dengan lancar bagi menghormati semua pihak yang terlibat. – Malaysiapost

