
MALAYSIA mencatatkan sebanyak 31,490 kes harian baharu semalam, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif jangkitan sebanyak 3,680,953 kes sejak virus maut itu melanda negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes harian yang direkodkan semalam membabitkan 31,017 kes tempatan dan 373 kes import.
“Sebanyak 12,692 kes iaitu 40.30 peratus dalam kategori 1, dan 18,623 kes atau 59.14 peratus adalah kategori 2.
“Kategori 3 mencatatkan 62 kes iaitu 0.20 peratus, kategori 4 sebanyak 52 kes dengan 0.17 peratus, manakala kategori 5 sebanyak 61 kes atau 0.19 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, daripada 203 kes kategori 3, 4 dan 5, sebanyak 39 kes iaitu 22.29 peratus tidak atau belum divaksinasi, 90 kes sudah menerima dua dos vaksin dan 46 kes sudah menerima dos penggalak.
“Manakala, 107 kes berumur 60 tahun ke atas, 43 kes mempunyai komorbid,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat pertambahan 11 kluster baharu direkodkan menjadikan keseluruhan kluster setakat ini adalah 6,860 kluster dengan 6,415 kluster telah tamat dan 445 kluster masih aktif.
“Jumlah kes sembuh pula adalah sebanyak 29,035 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 3,340,889 kes,” katanya. – Malaysiapost
