KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) yakin proses negara ke arah fasa endemik sehala namun bersiap sedia sebarang kemungkinan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
“Setiap negara berharap fasa endemik sehala maksudnya kita tak patah ke belakang tetapi sebagai Kementerian Kesihatan Malaysia yang mengamalkan dasar Kawalan Penyakit Berjangkit yang selamat dan menjaga keselamatan awam. Kita mestilah bersedia kemungkinan.
“…Salah satu perkara yang saya sudah menasihati Jemaah Menteri adalah sekiranya muncul varian baharu, yang lebih ganas daripada Omicron…bukan saja Malaysia, tetapi negara lain pun mesti kaji semula protokol pembukaan mereka,” katanya ketika sidang media di Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada fasa peralihan endemik akan ditarik semula sekiranya sistem kesihatan negara lumpuh susulan peningkatan kes.
Khairy berkata, setakat ini berdasarkan maklumat dan data yang ada, pihaknya yakin peralihan endemik ini adalah bersifat sehala.
Namun, katanya, KKM tidak boleh menolak kemungkinan muncul varian baharu atau perubahan dari segi sifat epidemiologi virus ini.
“Jadi, contoh jika kita sampai tahap sistem kesihatan lumpuh, kita akan syorkan kepada kerajaan langkah-langkah tertentu. Setakat ini, kita masih melihat transisi ini boleh diteruskan dan dipantau rapi Institut Kesihatan Kebangsaan,” katanya. – Malaysiapost

