PENGENDALI rangkaian pawagam, Tanjung Golden Village Cinemas (TGV) menjelaskan tayangan filem ‘The Batman’ di TGV Vivacity Kuching, Sarawak yang diulang semula berlaku disebabkan isu teknikal, bukan kerana kelewatan beberapa orang kenamaan (VIP).
Dalam satu kenyataan, TGV berkata pihaknya telah menjalankan siasatan dan mendapati tayangan pertunjukan pagi dan petang dalam dewan IMAX pada hari yang sama juga ditangguhkan, kerana isu teknikal.
“Pasukan kami bertindak pantas untuk menyelesaikan isu teknikal dan sesi petang 7.15 malam dapat bermula tepat pada masanya.
“Bagaimanapun, disebabkan kesilapan komunikasi, beberapa kakitangan di pintu masuk menganggap tayangan jam 7.15 malam juga ditangguhkan, pada masa ini lebih kurang 20 peratus tetamu telah pun memasuki dewan sementara 80 peratus selebihnya masih menunggu di ruang legar dan memasuki dewan selepas tayangan filem itu selesai bermula.
“Keputusan untuk menghentikan dan memulakan semula filem yang diakui telah merumitkan pelanggan kami dan seperti yang dinyatakan dalam kenyataan awal kami tidak selaras dengan dasar penyaringan kami,” jelas kenyataan itu hari ini.
Kenyatan itu turut memberi jaminan kepada semua pelanggan bahawa keputusan untuk memulakan semula filem itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana ketibaan lewat VIP.
“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul,” kata kenyataan itu lagi.
Terdahulu, TGV membuat permohonan maaf dan menawarkan dua tiket percuma serta bayaran balik kepada penonton yang terjejas ketika tayangan filem ‘The Batman’ di TGV Vivacity Kuching, Sarawak, kelmarin.
TGV dalam kenyataan di Twitter, berkata insiden tersebut berlaku kerana kelewatan beberapa VIP yang tiba selepas 45 minit filem ditayangkan di pawagam.
Menurut TGV, tayangan ‘The Batman’ perlu diulang semula setelah 45 minit kerana kelewatan VIP tersebut.
Kenyataan itu dibuat selepas tular di media sosial seorang pengguna Facebook Fazillah Raduan berkata filem itu bermula pada jam 7.15 malam dan ditayangkan selama 45 minit sebelum dihentikan seketika.
Katanya, seorang kakitangan kemudian masuk dan membuat pengumuman: “Kami akan memulakan semula filem itu dari awal. Maaf atas kesulitan yang timbul.”
Ketika ditanya, kakitangan itu kononnya berkata ia disebabkan oleh beberapa pelanggan yang baru tiba. – Malaysiapost

