Polis akan dedah keputusan ujian forensik kematian Tangmo

0
2

KETUA Polis Thailand memaklumkan punca sebenar kematian pelakon Nida Patcharaveerapong atau Tangmo adalah disebabkan kemalangan berdasarkan bukti yang ditemukan di lokasi kematian mangsa di Sungai Chao Phraya.

Suwat Jangyodsook berkata, polis menjangkakan banyak perkara akan diketahui lebih lanjut berhubung kematian Tangmo dalam beberapa hari lagi, sejurus keputusan pemeriksaan forensik keluar, lapor Bangkokpost.

Jangyodsook berkata, beliau sudah mengarahkan penyiasat untuk meneliti kenyataan saksi dan bukti berkaitan seperti rekod telefon dan kelajuan pemanduan serta data Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS) bot laju tersebut.

Mengenai luka besar pada bahagian paha kanan dan kesan calar di kaki kiri mendiang, katanya, ia berkemungkinan akibat kipas bot laju tersebut.

“Lebih banyak keputusan ujian forensik akan diumumkan dalam masa beberapa hari lagi,” katanya.

Mayat pelakon berusia 37 tahun itu ditemui pada 26 Februari lalu, hampir dua hari selepas dia terjatuh ke dalam Sungai Chao Phraya ketika menaiki bot laju bersama lima yang lain.

Mangsa ditemukan terapung tidak jauh dari Jeti Pibul Songkram 1, dua hari selepas dia terjatuh dari bot laju.

Dilaporkan kelima-lima kenalan Tangmo telah dipanggil untuk disoal siasat pada Ahad lalu.

Sekurang-kurangnya 29 saksi kini telah disoal siasat dalam siasatan kematian aktres itu.

Terdahulu, pegawai bahagian Forensik Hospital Umum Polis, Naphat Natthasumon mengesahkan kematian Tangmo akibat lemas kerana terdapat lumpur pada bahagian paru-paru. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here