SIAPAKAH calon Menteri Besar Johor Perikatan Nasional (PN) serta gabungan Pakatan Harapan (PH) bersama PKR dan MUDA masih belum terjawab.
Persoalan itu dibangkitkan veteran Umno yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berbaki lima hari saja lagi.
“PN hanya baru isytihar Tan Sri Muhyidin (Yassin) sebagai Penasihat Ekonomi kepada Menteri Besar (MB). Siapa yang akan jadi MB belum tahu lagi.
“Takkan Johor nak ada MB kawalan jarak jauh – ‘remote control’ – dari KL? Tekan butang saja, Johor boleh maju ke?,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Shahrir mendakwa, sebelum ini dua Menteri Besar dari Bersatu iaitu Allahyarham Osman Sapian dan Dr Sahrudin Jamal ‘dikawal’ dari Kuala Lumpur menyebabkan ekonomi dan kesejahteraan Johor terbengkalai.
“Itu kerajaan tekan butang! Atau kerana PN nak gabung balik dengan DAP, PAN, PKR dan MUDA? Buat kerajaan PH 2.0 untuk Johor,” katanya.
Setakat ini hanya BN yang telah menamakan calon Menteri Besar iaitu Datuk Hasni Mohammad. – Malaysiapost

