Liew Daren kini penolong jurulatih, rakan sepelatih Zii Jia

0
1

Perjalanan karier pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia dimantapkan lagi dengan kehadiran Liew Daren yang akan membantunya selaku penolong jurulatih dan rakan sepelatih.

Liew, pemain berusia 35 tahun itu melengkapkan lagi pasukan Zii Jia yang telah pun diperkuatkan dengan kehadiran Indra Wijaya sebagai jurulatihnya.

Ia sekali gus memberi gambaran Zii Jia serius dalam usaha meningkatkan lagi corak permainannya dalam usaha mencapai misi pingat emas pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Selepas mengumumkan Indra Wijaya sebagai jurulatihnya, pemain nombor tujuh dunia itu kini mengumumkan pula kehadiran pemain veteran, Daren, yang akan membantunya mencapai misi pingat emas dalam Sukan Olimpik Paris 2024.

“Dalam pasukan saya, ramai sudah tahu saya ada jurulatih Indra. Kemudian kami juga ada ahli fisioterapi, Sandra Fiedler yang merupakan bekas pegawai ISN (Institut Sukan Negara).

“Jurulatih kecergasan saya pula adalah Lim Joe Heang, dia baru sahaja meninggalkan BAM (Persatuan Badminton Malaysia).

“Kemudian, Liew Daren sebagai penolong jurulatih dan rakan sepelatih kerana dia pemain berpengalaman dan senior saya,” kata juara All England 2021 itu kepada Astro Arena.

Zii Jia yang bakal beraksi dalam kejohanan Badminton Terbuka Jerman bermula esok turut memberitahu dia juga memiliki dua rakan sepelatih separuh masa.

“Saya amat bertuah dan gembira untuk bekerjasama dengan mereka. Saya amat yakin dengan mereka.

“Saya memberitahu mereka bahawa kami merupakan sebuah keluarga dan sasaran kami sama, Sukan Olimpik Paris 2024. Hanya itu yang kami mahukan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here