TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan terdahulu membuat keputusan tanpa merujuk undang-undang serta Dewan Rakyat dalam soal pemberian hadiah serta saguhati kepada bekas-bekas Perdana Menteri.
Beliau mendakwa, ia berdasarkan saguhati RM100 juga diminta bekas Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak serta wang berjumlah RM50 juta yang dihadiahkan kepada bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu kerajaan wajar mencontohi syarikat swasta yang memberi penghargaan kepada pekerjanya yang berjasa dengan saguhati seperti jam tangan jenama Rolex dan tidak lebih dari itu.
“Dalam kes hadiah kepada bekas-bekas Perdana Menteri, sebenarnya tiada undang-undang yang menentukan hadiah ini, tetapi atas timbang rasa dan kuasa sedikit yang ada pada kerajaan, ada yang bersetuju satu hadiah diberi pada Perdana Menteri yang bersara sebagai tanda hargai sumbangannya kepada negara.
“Tetapi dalam keadaan itu kita juga tentukan hadiah ni bukan terlalu besar, sebaliknya di pihak swasta juga amalkan golden handshake, biasanya pegawai berjasa kepada syarikat akan diberi hadiah, tapi terhad mungkin satu jam Rolex.
“Tapi kita lihat dalam kerajaan sekarang apa yang dicadang dan diberi kepada bekas Perdana Menteri adalah lebih besar dari jam Rolex, ini bukan amalan dulu, zaman Tunku (Abdul Rahman), Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn diberi rumah lama,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Dr Mahathir mendakwa amalan tersebut bagaimanapun telah diubah ketika pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan Abdullah untuk memberi RM50 juta kepada bekas Perdana Menteri.
Beliau mendakwa ia dilakukan tanpa merujuk Dewan Rakyat atau mana-mana undang-undang bagi menentukan nilai hadiah itu.
“Kita juga dengar bahawa semasa Perdana Menteri keenam bersara, dia menulis surat pada kerajaan minta dihargai jasanya dengan memberi RM100 juta, (iaitu) sebuah bangunan RM60 juta dan wang 40 juta.
“ini luar biasa… RM100 juta kepada Perdana Menteri kononnya kerana jasanya, kita pun tahu jasanya curi duit hingga dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.
“Bagi Perdana Menteri yang kelima, saya diberitahu walaupun maklumat tidak diberi, tiada perbahasan dalam Dewan, tetapi nilai hadiah diberi ialah RM70 juta.
“Ini juga tiada dalam undang-undang dan menunjukkan kerajaan boleh buat keputusan yang tak boleh dipeertikaikan oleh rakyat,” katanya lagi.
Tambah Ahli Parlimen Langkawi itu, beliau tidak mengambil walau satu sen hadiah daripada kerajaan selepas menamatkan tugas sebagai Perdana Menteri.
“Mungkin jasa tak cukup… saya akui ada tawaran seperti tanah, saya tolak dan tawar untuk beli tanah.
“Ini kerana semasa jadi Perdana Menteri, saya diberi gaji cukup tinggi RM20,000 sebulan, bagi saya ia cukup besar dan lebih dari cukup, kerajaan beri segalanya kepada saya.
“Kerajaan beri rumah, beberapa kereta, kapal terbang juga diberi, apa lagi perlu diberi kepada saya selepas bersara,” katanya. – Malaysiapost

