Pengundi Johor jangan terpedaya manifesto yang ‘dijenamakan’ – Shamsul Anuar 

0
1

PENGUNDI Johor diingatkan tidak terpedaya dengan pelbagai janji ditawarkan melalui manifesto yang dijenamakan semula pembangkang termasuk Perikatan Nasional (PN).

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata manifesto yang ditawarkan PN, Pakatan Harapan (PH), Pejuang, Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Warisan tidak boleh dipercayai.

“Pasti semua masih ingat Manifesto PH. Manifesto yang penuh retorik, janji tidak masuk akal yang akhirnya gagal dilaksana.  

“Kerana itu Kerajaan PH diakui banyak pihak sebagai sebuah kerajaan yang gagal. Paling gagal,” katanya menerusi Facebook.

Shamsul Anuar berkata, kini rakyat Johor sekali lagi ditawarkan dengan pelbagai janji melalui manifesto yang dijenamakan semula iaitu PN (Ikrar PN); Pejuang (Aspirasi Johor) dan PH (Tawaran PH). 

“Sekarang mari  kita teliti siapa yang terlibat menyediakan manifesto PH ? (Datuk) Wan Saiful Wan Jan Ketua Penerangan Bersatu?. 

“Dialah yang merangka Manifesto PH. Janji macam macam mengenai PTPTN yang akhirnya gagal dilaksana. Dan sekarang terlibat dalam Ikrar PN, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin Pengerusi PN,” katanya menerusi Facebook.

Jelas Shamsul Anuar, sekiranya individu sama yang gagal menjayakan manifesto PH terlibat dalam manifesto PN, apakah Ikrar PN boleh dipercayai  rakyat Johor. 

“Sebab itu Tun M (Dr Mahathir Mohamad) dari Pejuang, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim PKR, Lim Guan Eng dari DAP ( PH ), Mat Sabu dari Amanah ( PH ), Syed Sadiq dari MUDA, (Datuk Seri Mohd) Shafie Afdal Warisan, dan ramai lagi tidak boleh dipercayai lagi. 

“Ini kerana merekalah yang terlibat merangka Manifesto PH yang gagal itu. Kalau manifesto dulu gagal dilaksana. Orang yang sama pula menawarkan manifesto baru. Bolehkah dipercayai?,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau yakin, Bangsa Johor bijaksana menilai dan tidak mempercayai janji baharu PN, PH, PKR, Warisan atau MUDA serta memilih BN. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here