Tak wajar tarian seksi jadi hidangan kepada pimpinan politik – Khairuddin

0
1

TIDAK selayaknya majlis tari menari ala bogel menjadi hidangan kepada pimpinan politik muslim walaupun penganjurnya bukan muslim, tegas pemimpin PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Tegasnya, apatah lagi ia juga bercanggah dengan nilai ketimuran dan nilai masyarakat Malaysia.

Malah menurutnya di saat rakyat berhadapan musibah dan diajak untuk bermunajat memohon keampunan kepada Allah agar dilepaskan daripada Covid-19, apa yang berlaku mengguris sedikit perasaan rakyat.

“(Penganjur) Perlu segera tampil membuat permohonan maaf rasmi kepada rakyat kerana ia juga menjejaskan nama rakan kerjasama politik di saat kempen pilihan raya sedang hangat.

“Pahit tetapi teguran perlu dibuat agar masyarakat dapat menilai prinsip Perikatan Nasional (PN) yang jelas berkaitan Islam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu tular video majlis makan malam dan persembahan tarian menampilkan sekumpulan wanita berpakaian seksi di hadapan beberapa pemimpin PN.

Susulan itu, Setiausaha Eksekutif PN, Saiful Adli Mohd Arshad menjelaskan majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC), Johor Bahru itu bukan dianjurkan PN, sebaliknya oleh komuniti perniagaan Cina tempatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here