BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menjawab cabaran debat dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali secara sindiran dengan menyatakan wajah Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu ‘kabur’.
Ia susulan Mohamed Azmin dilapor mencabar Najib berdebat mengenai isu Felda.
“Ada yang nak berdebat dengan saya. Dia kata konon saya telah merosakkan Felda. Datuk Seri Azmin Ali nak berdebat dengan saya.
“Saya nak berdebat dengan dia (Azmin). Tapi muka dia kabur, tak berapa jelas dalam video. Susahlah nak berdebat dengan orang muka yang tak berapa jelas.
“Kalau saya nak debat, baik saya debat dengan Tan Sri Muhyiddin (Yassin). Debat pasal hal Felda. Jangan tipu Felda,” katanya ketika berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Machap hari ini.
Semalam, Mohamed Azmin dilaporkan mencabar Najib berdebat mengenai isu Felda dan mahu ia dilakukan sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.
Mohamed Azmin juga mendakwa, kepimpinan Najib telah menghancurkan peneroka dan masa depan Felda.
Oleh itu, katanya, beliau terbuka untuk berdebat dengan Najib dengan mana-mana kaedah, ataupun ia dilakukan secara maya. – Malaysiapost

