KKM minta SPR pinda SOP benar berucap tanpa pelitup muka ketika berkempen

0
1
PUTRAJAYA, 9 Sept -- Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada sidang media di Kementerian Kesihatan hari ini. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) tiada halangan jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan pindaan terhadap prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka semasa berucap ketika berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata KKM tiada halangan sekiranya SPR hendak mengubah sedikit SOP tersebut namun dalam masa sama memastikan ia dilakukan pada jarak sesuai tanpa ada individu yang rapat sepanjang berucap.

“Saya telah maklum kepada pegawai KKM untuk maklumkan kepada SPR hari ini bahawa KKM tiada halangan sekiranya SPR hendak ubah sedikit SOP di mana yang sedang berucap sekiranya tiada orang di sekeliling yang rapat, pada jarak sesuai boleh buka pelitup muka.

“Itu pun SOP sering kita guna di tempat lain dalam acara rasmi dan sebagainya. Kalau yang berucap itu tak ada orang sekeliling yang rapat sewaktu ucapan boleh buka tetapi audien kena kekal pakai pelitup muka.

“Saya sudah beritahu perkara ini kepada SPR. Mungkin hari ini akan buat pindaan sedikit terhadap SOP tersebut. Saya nampak kalau yang berucap berada pada jarak sesuai untuk tempoh ucapan itu boleh ia keluarkan pelitup muka.

“Kadang-kadang tidak sesuai, susah hendak ceramah, saya faham sebagai orang politik yang itu kita akan perbaiki,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas walkabout bersama calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, Hahasrin Hashim di Kampung Lukut hari ini.

Sebelum ini, SPR menetapkan SOP yang baharu untuk parti-parti politik berkempen sepanjang PRN Johor.

“Ceramah, syarahan atau kempen dibenarkan diadakan di dalam dan di pekarangan pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi.

“Jumlah kehadiran pula tidak melebihi 100 orang atau 50 peratus kapasiti ruang mengikut mana yang terendah, bagi memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter di antara satu sama lain dan memakai pelitup muka.

“Jumlah tersebut termasuk penganjur, urus setia, penceramah dan peserta,” menurut SPR dalam satu kenyataan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here