SEORANG pemimpin PAS hari ini menegaskan hanya pemimpin yang ikhlas mengusahakan Muafakat Nasional (MN) sayangkan gagasan penyatuan Umno dan PAS tersebut.
“Hanya mereka yang ikhlas usahakan hasrat murni MN sahaja yang sayangkan Gagasan Besar Umat ini, bukan mereka yang menumpang populariti di tengah jalan,” kata Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Setiausaha Agung PAS itu berkata demikian menerusi ciapan di Twitter.
Beliau turut memuatnaik tangkap layar laporan media kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyebut “kerjasama politik antara Umno dan PAS biarlah diletakkan dalam satu lipatan yang tidak perlu dibuka lagi”.
Semalam Ahmad Zahid memberi petunjuk jelas mengenai masa depan MN dengan menyatakan “Bukan kita tidak mahu, malah kita yang memulakan. Kalau hidung tak mancung, kenapa pipi mesti tersorong-sorong”.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa MN belum berkubur dan tidak ada mana-mana parti mengisytiharkan pembubarannya. – Malaysiapost

