KERAJAAN menarik balik permohonan untuk melucut hak harta ahli keluarga Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim dan syarikat mereka yang didakwa hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram.
Permohonan yang dibuat Pendakwa Raya pada September 2019 adalah membabitkan hak wang tunai daripada akaun milik isteri Abdul Azeez, Datin Seri Khadijah Mohd Noor dan empat anak mereka.
Ia termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway milik syarikat mereka, Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd, yang bernilai hampir RM16 juta, lapor Berita Harian.
Pada prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin, hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim memberitahu mahkamah, Jabatan Peguam Negara bersetuju menarik balik permohonan itu.
Susulan itu, pihak Pendakwa Raya juga akan membuat perintah pelepasan (harta).
Muhammad Jamil kemudian membatalkan permohonan melucut hak berkenaan.
Terdahulu, Nik Haslinie berkata, terdapat perkembangan siasatan dan surat susulan daripada responden bertarikh 15 Februari lalu, yang mana Jabatan Peguam Negara bersetuju menarik balik permohonan lucut hak harta.
Pada prosiding itu, semua responden diwakili peguam Datuk Prem Ramachandran dan Sharvin Raj.
Pada 18 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan responden untuk menangguhkan prosiding saman melucut hak sementara perbicaraan kes rasuah terhadap Abdul Azeez di Mahkamah Sesyen diputuskan.
Abdul Azeez, 54, kini dibicarakan atas tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah.
Beliau juga berdepan tud serta 10 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan hampir RM140 juta, yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.
Perbicaraan itu bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan Abdul Azeez untuk membatalkan semua tuduhan di Mahkamah Rayuan. – Malaysiapost

