Pengkhianat tidak mahu PRU segera – Isham Jalil

0
1

PENGKHIANAT yang melompat parti, tidak mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun Umno dan Barisan Nasional (BN) sebaliknya mahu mengembalikan segera mandat kepada rakyat, kata Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil.

Menurutnya, akar umbi parti mahu PRU tidak ditangguhkan lagi dan berharap ia diadakan sebelum pemilihan Umno tahun ini dan bukan pada tahun 2023.

“Keputusan ini telah dibuat oleh majoriti bahagian-bahagian Umno seluruh negara yang telah bermesyuarat baru-baru ini. Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pun telah menegaskan hal ini.

“Ini kerana selagi pilihan raya tidak dibuat, selagi itu politik tidak stabil dan keadaan ekonomi tidak menentu.

“Mandat perlu dikembalikan kepada rakyat secepat mungkin untuk mengembalikan kestabilan bagi membolehkan dasar-dasar kerajaan bermandat dapat dibuat untuk pemulihan segera negara dan rakyat tanpa gangguan serta ugutan politik oleh pihak-pihak tertentu,” katanya menerusi Facebook.

Isham berkata, pihak yang mahu menangguhkan PRU ini adalah pengkhianat lompat parti yang pentingkan jawatan daripada rakyat dan takut akan kekalahan mereka.

“Yang mahu tangguh-tangguh pilihan raya ini ahli politik seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan rakan-rakan mereka dari bekas PH yang telah menipu manifesto dan pengkhianat-pengkhianat bekas BN yang telah melompat parti yang kini takut untuk berhadapan dengan rakyat.

“Mereka takut kalah dan ingin berpegang kepada jawatan selama boleh, walaupun rata-rata rakyat sedang sengsara. Kita tidak boleh tunggu ahli-ahli politik ini,” katanya.

Tambahnya, kepentingan negara lebih penting dari kepentingan peribadi dan diri sendiri bagi segelintir ahli politik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here