Pindaan Akta 342 beri kesan tidak wajar kepada rakyat

0
1
Bazar Ramadan kelihatan meriah dengan kunjungan orang ramai dan juadah-huadah yang menarik hari ini di Bazar Taman Tun Dr Ismail.

MAJLIS Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyokong pendirian Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam membantah pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), yang didakwa akan memberi kesan tidak sewajarnya kepada rakyat.

Pengerusinya, Abdul Halim Husin berkata, pihaknya secara dasar menyokong pelbagai inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diketuai oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sokongan MTEM juga termasuklah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Penggalak (Booster) atau lebih dikenali sebagai PICK-B, galakan mengambil vaksin penggalak untuk membendung pertambahan jangkitan wabak itu.

“Namun pindaan yang ingin dibuat mungkin keterlaluan dan perlu diperhalusi semula dengan baik berikutan beberapa faktor.

“Iaitu pertama, kuasa Ketua Pengarah akan menjadi terlalu besar dan membuka ruang penyalahgunaan kuasa pada masa hadapan yang memaksa pengasingan dibuat berdasarkan syak tanpa bukti yang jelas, dan tanpa masa yang ditetapkan, seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang telah dimansuhkan

“Kedua, denda sebanyak RM100,000 untuk individu dan RM2 juta untuk organisasi juga agak melampau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Halim berkata, wabak Covid-19 akan kekal maka semua pihak perlu berfikir, bergerak, bekerja dan berniaga dengan pemahaman keadaan yang mengurangkan kebebasan ini tidak akan berpanjangan.

Malah, katanya, negara luar sudah pun mula mengurangkan atau membatalkan beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengekang Covid-19.

“Langkah seperti ini akan memberi motivasi dan mesej pada semua rakyat khususnya komuniti ekonomi bumiputera untuk terus fokus memajukan diri dan keluarga pada tahun ini, sepanjang Era pasca pandemik,” katanya.

Sehubungan itu, MTEM berharap KKM akan cuba melakukan sesi libat urus di kalangan NGO, ahli politik dan aktivis rakyat sebelum pindaan ini diangkat ke Parlimen.

“Pindaan yang dibuat mestilah menepati hasrat dan kehendak pakar-pakar kesihatan tanpa menafikan juga kepentingan rakyat termasuk hak-hak mereka termaktub dalam perlembagaan.

“Oleh itu kita memohon Kementerian Kesihatan Malaysia menangguh dahulu pindaan Akta 342, dan hendaklah diperhalusi semula apa yang perlu dipinda setelah sesi libat urus yang lebih terperinci dilakukan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here