‘Menang dulu, berebut kemudian’ – Ahmad Zahid

0
1

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid hamidi, mendakwa gabungan parti-parti lawan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tiada kestabilan politik.

Menurutnya, ia terbukti apabila lawan BN sehingga kini belum dapat memutuskan calon Menteri Besar mereka sekiranya memenangi PRN Johor pada 12 Mac ini.

“Mereka beri alasan fokus mereka ketika ini adalah kepada strategi untuk menang terlebih dahulu.

“Barangkali mereka gunakan formula sama seperti Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ‘menang dulu, berebut kemudian’.

“Formula sama yang menyebabkan Perdana Menteri Ke-7 (Tun Dr Mahathir Mohamad) lewat dapat membentuk Kabinet kerajaan 22 bulan,” sindirnya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, orang Johor yang bijaksana pasti mengerti lawan BN sebenarnya sukar capai kata sepakat calon Menteri Besar Johor, sekaligus mengesahkan bahawa tiada kestabilan politik pada mereka untuk negeri Johor.

“Keadaan yang mengabsahkan mereka bertanding PRN Johor tanpa perhitungan masa depan rakyat negeri itu. Sebaliknya mahu kembali berkuasa atau semata-mata untuk menyekat kebangkitan BN.

“Sangat ‘obvious’ ketidakstabilan mereka sehinggakan penggunaan logo pun tidak sepakat. Justeru, bagaimana pihak yang tidak stabil boleh menawarkan kestabilan andai diberi undi pada 12 Mac ini? soalnya.

Ahmad Zahid berkata, sebaliknya BN bertanding PRN Johor dengan iltizam mengembalikan kestabilan dan kemajuan di Johor dengan mempunyai hala tuju jelas bagaimana untuk mentadbir Johor sejurus diberi mandat atas pengalaman dan kemampuan.

“Sebenarnya rakyat Johor memang perlu berwaspada dengan lawan BN yang sejak azali kaya dengan formula.

“Semasa PRU-14 mereka kemukakan formula ‘PH menang, rakyat senang’ dan ‘RM50 penuh satu troli’. Begitu juga dengan formula ‘hari ini menang esok harga petrol RM1.50′ atau “PH menang mansuh PTPTN’.

“Tidak perlu diulas panjang lebar apa telah terjadi kepada formula-formula itu selepas mereka diberi kuasa kerana rakyat termasuk di Johor lebih mengetahui kerana telah merasai akibat sebilangan kita tersalah undi,” katanya.

Beliau turut menyeru agar kali ini orang Johor tidak silap lagi dan bersama BN untuk kembalikan kestabilan, kemakmuran, kesejahteraan dan kemajuan negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here