Gelinciran tanah, aliran puing punca sisa kayu hanyut

0
2

KESAN kemusnahan besar akibat banjir di Hulu Terengganu Ahad lalu berpunca daripada gelinciran tanah dan aliran puing bersaiz sederhana di cerun Sungai Terengganu berhampiran Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud (SJHSM) di Kenyir.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata siasatan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu di sepanjang Sungai Terengganu berhampiran empangan SJHSM itu kelmarin mendapati, tiada aktiviti pembalakan dijalankan di kawasan kejadian.

“Gelinciran tanah menyebabkan kejadian tanah runtuh yang membawa sisa-sisa kayu, debris (serpihan) dan tumbuhan hanyut dikenali sebagai puing.

“Ini disebabkan faktor hujan lebat selama lima hari berturut-turut mulai 23 Februari sehingga 27 Februari yang mencecah 1,000 mm (milimeter).

“Gelinciran tanah runtuh dianggar bersaiz panjang 100 meter, lebar 50 meter dan tebal lima hingga 10 meter manakala aliran puing yang bergerak dari puncak bukit hingga ke Sungai Terengganu ada yang mencapai sehingga 300 meter panjang,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Ahmad Samsuri berkata, mesyuarat penyelarasan pascabencana dijalankan dan kerja pembersihan sisa kayu giat dilakukan oleh pelbagai agensi berkaitan.

“Pemantauan melalui udara dan rondaan dari semasa ke semasa dijalankan bagi mengawasi keadaan.

“Semoga kenyataan ini dapat menjelaskan dan menjernihkan isu yang berlegar sehari dua ini dalam media sosial,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Telemong, Datuk Rozi Mamat menggesa Kerajaan Terengganu dan Jabatan Perhutanan menyiasat kes balak dan kayu hanyut yang berlaku di Tasik Kenyir sejak Isnin lalu.

Beliau berkata, kawasan daerah Hulu Terengganu, terutama sekitar Tasik Kenyir, bukannya zon pembalakan. – Malaysiapost

Kredit foto : Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here