SPRM dapati tiada kes rasuah babit Tajuddin – PM

0
1

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada keterangan membabitkan salah guna kuasa dan rasuah membabitkan bekas Pengerusi Prasarana Berhad, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam jawapan bertulis di Parlimen menjelaskan, siasatan SPRM terhadap Ahli Parlimen Pasir Salak itu juga sudah selesai.

“SPRM sudah selesai menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen Pasir Salak. Hasil siasatan mendapati tiada keterangan melibatkan salah guna kuasa dan rasuah berlaku,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Sementara itu katanya, siasatan kes rasuah membabitkan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar pula masih lagi berjalan.

“SPRM tidak dapat mendedahkan butiran siasatan itu,” katanya menjawab soalan Teo Nie Ching (PH-Kulai) yang meminta Perdana Menteri menyatakan hasil siasatan SPRM terhadap Tajuddin dan Xavier.

Tajuddin pada Mei tahun lalu dipanggil SPRM untuk membantu siasatan, berhubung kes membabitkan Prasarana namun perincian kes itu tidak didedahkan kepada media.

Sementara itu, pada Februari tahun lalu, SPRM mengesahkan siasatan dibuka terhadap Xavier serta Timbalan Pengerusi PKR Perak, MA Thinagaran.

SPRM juga merampas sejumlah wang tunai berjumlah RM1.2 juta yang dipercayai wang rasuah disimpan di rumah dan pejabat proksi kepada bekas menteri dan Timbalan Pengerusi berkenaan.

Turut dirampas ialah sebuah kereta mewah yang digunakan oleh bekas menteri berkenaan sebagai kenderaan rasmi dan dipercayai milik seorang pengarah syarikat yang diluluskan projek berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here