Audio mirip suara Muhyiddin tiada elemen rasuah. – Wan Junaidi

0
1

SIASATAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung satu rakaman audio didakwa suara mirip bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tular sebelum ini didapati tiada elemen rasuah.

Rakaman itu berkaitan tawaran jawatan politik dan kedudukan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang didakwa dibuat Muhyiddin sebagai pertukaran untuk sokongan politik terhadapnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata SPRM sudah selesai menjalankan siasatan terhadap isu itu.

“Hasil siasatan mendapati tiada elemen kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694),” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab soalan Teo Nie Ching (PH-Kulai) di Dewan Rakyat yang bertanyakan hasil siasatan SPRM terhadap rakaman audio berkenaan.

SPRM pada Julai tahun lalu sudah menyerahkan kertas siasatan kes rakaman audio didakwa mengandungi suara mirip Muhyiddin itu kepada Jabatan Peguam Negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here