Hutang 1MDB tidak pernah dibayar satu sen pun – Najib

0
1
Pix via Malaysiapost

HUTANG 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak sewajarnya digunakan sebagai alasan mengenai keadaan kewangan negara yang teruk, kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan, mendakwa hakikatnya satu sen pun hutang 1MDB tidak pernah dibayar oleh kerajaan sebelum ini.

“Dalam Dewan yang mulia ini janganlah kita beri alasan hutang 1MDB sebagai merosakkan kewangan negara. Hakikatnya satu sen pun prinsipal hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak pernah dibayar.

“Pada 2018 hutang 1MDB RM32 bilion, 2019 hutang 1MDB RM32 billion, 2020 RM32 bilion dan 2021 hutang RM32 bilion,” katanya ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih atas titah diraja Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Rakyat, hari ini.

Najib juga berpendapat, adalah tidak betul mencanangkan bahawa rakyat perlu membayar atau menanggung hutang 1MDB.

“Misalnya bayaran sebanyak RM16.4 bilion yang diterima dari Goldman Sachs bukanlah dari wang rakyat. itu wang Goldman Sachs yang boleh digunakan untuk bayar hutang 1MDB.

“Begitu juga dana-dana lain yang diterima dari DOJ (Jabatan Kehakiman AS) RM3 bilion Ambank RM2.83 bilion, KPMG (firma audit) RM340 juta dan Deloitte RM324 juta.

“Kesemuanya ini berjumlah hampir RM23 bilion.Ini bukan wang rakyat dan sepatutnya wang ini boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here