Elaun Covid-19 petugas barisan hadapan akan dikemas kini – KJ

0
1

[Parlimen] KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyemak dan mengemas kini dari semasa ke semasa untuk memperluaskan pemberian elaun khas kepada petugas barisan hadapan kesihatan yang mengurus wabak Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata selain doktor, jururawat dan pemandu ambulans yang ketika ini termasuk dalam kalangan petugas yang layak menerima elaun khas tersebut, namun masih terdapat kumpulan lain kesihatan yang terlibat dalam pengurusan wabak itu.

“Kumpulan yang layak menerima elaun khas ini akan kita semak dan kemas kini dari semasa ke semasa, contohnya ahli fisioterapi yang terlibat dalam rawatan pesakit ‘long Covid yang kita fikir menepati kriteria untuk mendapat elaun khas tersebut,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian, ketika menjawab soalan Datuk Hasan Bahrom (PH-Tampin) yang bertanya mengenai pembayaran elaun kepada pekerja barisan hadapan dalam kalangan kakitangan kesihatan.

Khairy berkata, sehingga 31 Disember tahun lalu sejumlah RM1.1 bilion elaun khas telah dibayar kepada petugas barisan hadapan kesihatan.

Tambah beliau, kadar pemberian elaun khas Covid-19 kepada petugas barisan hadapan termasuk doktor, jururawat dan pemandu ambulans telah dinaikkan daripada RM400 kepada RM600 sebulan bermula bulan April 2020.

“Prinsip yang melayakkan pembayaran elaun khas Covid-19 adalah, doktor dan anggota kesihatan perlu diarahkan melaksanakan tugas dalam rantaian skop pengurusan wabak Covid-19 dan bayaran dibuat berdasarkan borang tuntutan yang dibuat oleh pegawai kepada Pusat Tanggungjawab (PTJ) masing-masing,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here