Dividen KWSP lebih tinggi berbanding waktu sebelum Covid-19 – DPIM

0
1

DIVIDEN Kumpulan Wang Simpanan Malaysia (KWSP) yang diumumkan hari ini adalah lebih tinggi daripada waktu sebelum wabak Covid-19, pada tahun 2019, sekitar 5.45 peratus.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan, berkata KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM 67.06 bilion, seterusnya menunjukkan strategi pelaburan KWSP di luar negara, terutama di Amerika Syarikat, memberikan kebaikan kepada pencarum.

“Berdasarkan laporan kewangan KWSP, ekuiti khususnya ekuiti luar negara merekodkan pulangan pelaburan ROI sebanyak 10.44 peratus, menjadi penyumbang pulangan utama. 

”Setakat Disember 2021, sekitar 37 peratus daripada aset pelaburan KSWP adalah di luar negara dan merentasi pelbagai aset. Oleh yang demikian, DPIM menyeru kerajaan memperkasakan strategi pelaburan KWSP untuk jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, KWSP mengumumkan dividen sebanyak 6.10 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.65 peratus untuk Simpanan Syariah bagi tahun 2021.

Ia lebih tinggi berbanding 2020, yang mana dividen bagi Simpanan Konvensional sebanyak 5.20 peratus dan 4.90 peratus untuk Simpanan Syariah.

Jumlah pengagihan terkumpul bagi 2021 adalah RM56.72 bilion, iaitu RM50.45 bilion untuk Simpanan Konvensional dan RM6.27 bilion lagi untuk Simpanan Syariah.

Sementara itu, Shahir berkata, DPIM turut menyeru kerajaan untuk mempertimbangkan pengeluaran KSWP sebanyak RM 10,000 secara one-off kepada rakyat yang memerlukan agar dapat meringankan beban tatkala waktu getir ini. 

Ini kerana, katanya, rakyat bukan sahaj terhimpit akibat Covid-19, hilang pekerjaan, perniagaan merudum, malah kini berhadapan dugaan bencana alam seperti banjir besar.

“DPIM berharap Kerajaan yang berteraskan semangat Keluarga Malaysia akan benar-benar memberikan keutamaan kepada kebajikan rakyat Malaysia. Pengeluaran KWSP oleh rakyat yang terkesan, mampu memberikan sinar baharu kepada kami,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here