219 calon SPM di Selangor positif, dikuarantin akibat Covid-19

0
2

SECARA keseluruhan seramai 73,938 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menduduki peperiksaan itu bermula hari ini, termasuk 219 calon yang berada dalam tempoh kuarantin dan positif Covid-19 di Selangor.

Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan negeri, Nor Faridah A Bakar, berkata jumlah calon berkenaan adalah membabitkan calon persendirian dan calon berkeperluan khas.

“Bagi negeri Selangor, kita ada ramai kita ada 73,938 jumlah calon dan 508 pusat peperiksaan.

“Seramai 219 calon yang positif Covid-19 dan juga sedang dalam tempoh kuarantin,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau perjalanan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, Shah Alam, hari ini.

Menurutnya, bagi yang tidak dapat menduduki SPM minggu ini, calon boleh mendudukinya di fasa dua pada April nanti.

“Saya berharap, ibu bapa memberikan motivasi yang tinggi kepada anak-anak supaya mereka sentiasa tenang dan juga bersedia untuk peperiksaan SPM ini sama ada dalam fasa satu atau fasa dua,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai tinjauannya di SMK Seksyen 7, Shah Alam hari ini, Nor Faridah berkata, terdapat seramai 381 calon SPM yang menduduki peperiksaan di sekolah berkenaan kali ini.

“Di sekolah ini ada dua pusat peperiksaan, satu ada 190 calon dan satu pusat lagi seramai 191 calon,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here