JUMLAH mangsa banjir di Pantai Timur kini membabitkan 26,697 penduduk daripada 7,651 keluarga yang dipindahkan ke 117 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kelantan dan Terengganu setakat pagi ini.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara di portalbencana.nadma.gov setakat jam 8 pagi tadi, berlaku peningkatan mangsa di Terengganu, berbanding jam 12 tengah malam tadi.
Terengganu kini mencatatkan seramai 17,641 mangsa membabitkan 4,656 keluarga dipindahkan ke 87 PPS berbanding 15,992 mangsa daripada 4,214 keluarga yang dipindahkan ke 86 PPS di tujuh daerah tengah malam tadi.
Lapan daerah yang terjejas di negeri berkenaan adalah Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Setiu.
Sementara itu, keadaan banjir di Kelantan tidak berubah dengan seramai 9,056 mangsa daripada 2,995 keluarga dipindahkan ke 30 PPS di lima daerah sehingga jam 8 pagi tadi.
Daerah di Kelantan yang terjejas banjir adalah Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Tanah Merah. – Malaysiapost

