Siasat segera kejadian balak hanyut di Tasik Kenyir – ADUN Telemong

0
1

KERAJAAN negeri dan Jabatan Perhutanan digesa segera menyiasat kes balak dan kayu hanyut yang berlaku di Tasik Kenyir, Terengganu sejak Isnin lalu.

Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Telemong, Datuk Rozi Mamat, berkata kawasan daerah Hulu Terengganu, terutama sekitar Tasik Kenyir, bukannya zon pembalakan.

Beliau mendakwa, sejak Isnin lalu, ratusan ribu batang balak dan sisa hutan dihanyutkan arus di beberapa kawasan sekitar Tasik Kenyir.

“Jabatan Perhutanan, kerajaan negeri dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu melakukan siasatan untuk mengenal pasti punca berlakunya kejadian itu.

“Pokok balak dikatakan tumbang dan dihanyutkan arus sehingga menyebabkan berlakunya runtuhan tebing di beberapa lokasi sekitar Tasik Kenyir,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan air bersih dan bakul makanan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Tadok, di Kuala Berang, hari ini.

Rozi menegaskan yang kes balak hanyut bukannya isu politik, tetapi Jabatan Perhutanan dan kerajaan negeri serta TNB perlu menyiasat serta menjelaskan kepada rakyat.

“Beberapa kawasan di Hulu Terengganu termasuk di Tasik Kenyir bukannya zon pembalakan, tetapi agak menghairankan apabila balak dan sisa hutan tiba-tiba timbul di permukaan air akibat dihanyutkan arus,” katanya.

Hari ini, tular di media sosial beberapa video dan gambar yang memaparkan keadaan permukaan air di Tasik Kenyir yang di penuhi batang pokok balak dan sisa hutan hanyut selepas kejadian banjir Sabtu lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here