PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata angkatan Tentera Darat Malaysia (TDM) adalah perspektif strategik negara yang perlu diperkasakan dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, TDM adalah sebahagian pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) panji kepada kedaulatan dan kemerdekaan negara.
“Seperti saya sering katakan sejarah panjang TDM mempertaruh seluruh jiwa dan raga demi kemakmuran rakyat dan negara harus diperakui oleh semua.
“Menentang pencerobohan tentera Jepun, melawan keganasan komunis, mempertahankan negara semasa konfrontasi 1969.
“Berdepan ancaman pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada tahun 2013 bersama-sama anggota VAT69 dan banyak lagi,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, TDM juga terlibat dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan serta terlibat dalam misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan penyaluran bantuan di negara perang.
“Justeru, sebagai bekas Menteri Pertahanan dari 9 April 2009 sehingga 16 Mei 2013 saya mengesahkan anggota TDM kita bukan sekadar ‘makan dan tidur’.
“Seperti angkatan bersenjata lain, TDM memainkan peranan penting melindungi wilayah berdaulat di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Dan buat pertama kali dalam sejarah negara, sebagai Menteri Pertahanan saya memperkenalkan Dasar Pertahanan Negara yang menyeluruh,” katanya.
Jelas Ahmad Zahid, ia suatu dasar yang dibuat pada 2010 berkait dengan pertahanan negara secara komprehensif dan bersifat jangka masa panjang.
“Kerana kerajaan BN ketika itu tahu kita tidak boleh sama sekali alpa dengan keamanan dikecapi kerana pada bila-bila masa konflik atau kekacauan boleh tercetus.
“Justeru, saya ucapkan selamat ulang tahun ke-89 kepada seluruh warga angkatan Tentera Darat Malaysia,” katanya.
Hari Tentera Darat disambut pada 1 Mac setiap tahun.
Sambutan Hari Tentera Darat ke-89 dengan tema ‘Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin’ tahun ini berlangsung secara fizikal dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat di Kem Segenting di Port Dickson, Negeri Sembilan, hari ini. – Malaysiapost

