Polis dalam proses lengkapkan siasatan ke atas suami Zeti – Azam Baki

0
1

POLIS akan menyerahkan kertas siasatan terhadap suami bekas Gabenor Bank Negara (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak lama lagi.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mengesahkan perkara tersebut dalam satu sidang media hari ini.

“Bagi (kes) Tawfiq, tugas yang diserahkan kepada SPRM adalah membawa pulang wang dari Singapura.

“Di pihak polis, saya rasa kertas siasatan mereka masih dibuat dan apabila siap akan dihantar ke AGC,” katanya memetik portal Free Malaysia Today.

Pada Mac tahun lalu, polis dilaporkan memulakan siasatan ke atas dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa dipindahkan ke akaun bank milik Datuk Dr Tawfiq Ayman di Singapura.

Polis Singapura dilaporkan telah memaklumkan kepada BNM mengenai transaksi mencurigakan pada 2015 dan 2016 melibatkan sebuah syarikat milik suami Zeti dan salah seorang anak lelakinya.

Ia membabitkan dana yang masuk daripada akaun yang dikaitkan dengan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low yang didakwa menjadi dalang skandal kewangan 1MDB.

Zeti adalah gabenor BNM ketika itu.

Bulan lalu, Tawfiq kembali menjadi tumpuan selepas bekas pegawai bank Goldman Sachs Tim Leissner mendakwa Tawfiq disogok untuk mempercepat pindahan USD1 bilion keluar dari Malaysia.

Susulan itu, Tawfiq berkata, beliau terkejut dengan dakwaan tersebut, sambil menambah, beliau tidak mengenali Leissner secara peribadi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here