708 calon SPM terjejas banjir di Kelantan duduki peperiksaan April depan

0
2

SEBANYAK tujuh pusat peperiksaan di Kelantan terkesan akibat banjir dan tidak dapat digunakan bagi jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada esok dan lusa membabitkan seramai 708 calon.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, berkata kesemua calon yang terjejas berkenaan bagaimanapun tidak perlu bimbang kerana mereka dibenarkan untuk menduduki semula kertas peperiksaan pada sidang kedua pada April depan.

Beliau berkata pusat peperiksaan yang terbabit adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang (178 calon), SMK Gual Periok (74), SMK Baroh Pial (111), Maahad Muhammadi Rantau Panjang (115), SMU (A) Khairiah Banggol Setol (24), SMU (A) Al-Falah (45) dan SMK Meranti (161).

“Kesemua 708 calon ini tidak perlu gusar kerana mereka dibenarkan untuk menduduki semula ujian bagi kertas peperiksaan yang dijadual esok dan lusa pada sidang kedua yang akan berlangsung pada bulan April depan.

“Sekiranya keadaan banjir lebih teruk dan ada pusat peperiksaan lain terpaksa ditutup atau ada calon yang perlu menduduki peperiksaan di pusat peperiksaan alternatif, calon akan dihubungi oleh pihak sekolah,” katanya di Facebook, hari ini.

Menurutnya, kesemua calon SPM yang berkenaan telah dihubungi pihak sekolah bagi memaklumkan situasi tersebut.

Beliau berkongsi keadaan banjir semasa di Kelantan selepas meninjau pusat-pusat peperiksaan SPM di Rantau Panjang, hari ini yang terjejas akibat banjir.

“Rantau Panjang merupakan satu daripada daerah di negeri ini yang teruk dilanda banjir selain beberapa daerah di Terengganu.

“Tinjauan dilakukan di SMK Sri Kiambang dan SMK (A) Lati, yang masing-masing menjadi pusat peperiksaan kepada 144 dan 126 calon SPM 2021 bermula esok,” katanya.

Menurutnya, memahami situasi banjir, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga memutuskan memberi kelonggaran pemakaian uniform sekolah dengan calon SPM 2021 dibenarkan memakai pakaian lain yang sopan dan bersesuaian.

“Saya juga ingin menasihatkan calon supaya sentiasa peka dengan keadaan semasa di persekitaran dan segera memaklumkan kepada guru kelas, setiausaha peperiksaan atau pengetua masing-masing jika tidak boleh hadir peperiksaan.

“Ini akan memudahkan tindakan lanjut diambil, khususnya yang melibatkan penjadualan semula ujian atau perubahan pusat peperiksaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata semua pusat peperiksaan SPM di Terengganu beroperasi sepenuhnya esok dan walaupun ada sekolah yang terkesan banjir, calon-calon SPM telah dipindahkan ke pusat-pusat peperiksaan alternatif yang diwujudkan.

“KPM menerusi Lembaga Peperiksaan sentiasa memantau rapi situasi banjir dan telah menyediakan pelan tindakan bagi memastikan calon SPM tahun 2021 dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan teratur dan selamat.

“KPM komited memastikan kebajikan calon SPM yang terkesan dengan banjir diberi perhatian sebaiknya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here