PENINGKATAN mangsa banjir di Terengganu turut membabitkan pemindahan beberapa pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah di kawasan yang terjejas.
Operasi pemindahan mangsa banjir yang positif wabak berkenaan dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu.
JBPM Terengganu melalui laman Facebook rasminya turut berkongsi mengenai operasi berkenaan membabitkan pemindahan pesakit Covid-19 ke beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Antaranya adalah di Bukit Merah, Dungun membabitkan mangsa dipindahkan ke PPS Bergejala Sekolah Kebangsaan (SK) Serdang Dungun antara jam 9.45 malam hingga 10.50 malam tadi.
“Operasi mengambil mangsa positif Covid-19 yang rumah terkesan banjir telah berjaya dipindahkan ke tempat selamat membabitkan seorang wanita dewasa bersama seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
“Mangsa telah berjaya dikeluarkan dengan menggunakan lori dan bot fiber dengan pasukan penyelamat memakai pakaian penuh kelengkapan pelindung diri (PPE). Mangsa seterusnya dihantar ke PPS SK Serdang,” menurut perkongsian itu.
JBPM Terengganu, turut berkongsi operasi menyelamat mangsa terperangkap banjir di hadapan Institut Memandu Merit, Kemaman dan dihantar ke kediaman di Kampung Geliga pada jam 9.30 malam hingga 11 malam tadi.
“Mangsa terdiri daripada dua lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki yang terperangkap dalam banjir ketika meredah air menggunakan kenderaan Jenis Proton Saga BLM di hadapan Institut Memandu Merit Kemaman.
“Semua mangsa yang terperangkap telah berjaya diselamatkan dengan menggunakan lori dan mangsa seterusnya dihantar ke tempat selamat di Kampung Geliga (kediaman).
“Kenderaan mangsa ditarik oleh pacuan empat roda orang awam ke tempat selamat,” katanya.
Terengganu kini mencatatkan seramai 17,725 mangsa membabitkan 4,550 keluarga dipindahkan ke 138 PPS di lapan daerah setakat jam 8 pagi tadi. – Malaysiapost

