PENGERUSI Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan terdapat Menteri yang tidak akur dan patuh pada arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disebabkan berlainan parti.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, walaupun konsep kerajaan Keluarga Malaysia telah diterima oleh rakyat yang ingin melihat ia berjalan dengan cemerlang, tetapi terdapat Menteri yang tidak cakna dengan kehendak rakyat.
“Rakyat terima kerajaan keluarga Malaysia nak lihat prestasi cemerlang.
“Ada menteri-menteri tak begitu akur atau patuh pada arahan perdana menteri kerana dia parti lain, perdana menteri daripada Umno.
“Surat daripada Perdana Menteri tak diambil peduli, saya ada bukti kukuh, arahan Perdana Menteri kadang-kadang diperap begitu saja,” katanya ketika ditemui semalam.
Tajuddin menegur sikap Menteri berkenaan yang tidak mengendahkan arahan Perdana Menteri kerana ia boleh merencatkan perjalanan sebuah kerajaan.
“Mana boleh begitu…kalau begitu mana nak buat kerja, jadi jangan kita ambil kesempatan begitu, jadi saya harap semua dalam Kabinet bersatu,” katanya lagi.
Dalam pada itu Tajuddin merakamkan penghargaan kepada pembangkang kerana telah pun membantu dan sepakat dengan perdana menteri melalui memorandum yang telah dimeterai.
“Saya ucap tahniah kepada pembangkang kerana pembangkang telah pun membantu dan sepakat dengan perdana menteri untuk tumpukan kepada isu rakyat.
“Dia nak jadi pembangkang yang membina,” katanya.
Untuk rekod Umno bersama Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas Bersatu dan kumpulan bekas ahli PKR yang menarik menarik sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) melalui ‘Langkah Sheraton’ pada Feb 2020.
Namun, kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang hanya selepas 18 bulan, susulan Umno menarik sokongan pada Ogos 2021.
Kerajaan baharu pimpinan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno dibentuk dengan sokongan ahli Parlimen Bersatu, Pas dan GPS. – Malaysiapost

