UJIAN bertulis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2021 akan dilaksanakan bermula 2 Mac hingga 29 Mac ini.
Perkara itu diumumkan oleh Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut LP, seramai 407,097 calon akan menduduki ujian bertulis berkenaan di 3,382 pusat peperiksaan di seluruh negara.
“Bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan ini, seramai 50,514 petugas peperiksaan telah dilantik,” menurut kenyataan itu.
LP turut mengingatkan semua calon agar merujuk jadual waktu untuk ujian bertulis berkenaan membabitkan maklumat mengenai tarikh, masa, kos dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.
“Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari portal rasmi LP di http://lp.moe.gov.my.
“Calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
“Calon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusab Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang dikeluarkan KPM,” katanya.
Menurut LP, calon juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Ketetapan ini adalah bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak Covid-19.
“Garis panduan itu boleh dimuat turun dari portal rasmi KPM,” katanya. – Malaysiapost

