DUA kes baharu positif Covid-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir di Terengganu setakat jam 3 petang semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata angka itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir adalah 25 kes.
“Kedua-dua pesakit berkenaan sudah diasingkan daripada mangsa banjir yang lain dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) khas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, tiada kluster yang dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir di PPS.
Selain itu, menurutnya, tujuh kes dikesan membabitkan kes jangkitan saluran pernafasan Akut (ARI) dan satu kes penyakit kulit.
“Ia melibatkan jangkitan saluran pernafasan akut (7 kes) dan penyakit kulit (1 kes).
“Tiada kes konjunktivitis, typhoid, kolera, leptospirosis dan denggi dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, sehingga jam 3 petang semalam, terdapat sebanyak 54 PPS dibuka yang membabitkan 15 daerah dengan mangsa sebanyak 9,741 orang.
“Sebanyak dua fasiliti kesihatan di negeri Terengganu terjejas banjir (tahap 1) iaitu Klinik Kesihatan (KK) Wakaf Tapai, Marang dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Nerus. Bagaimanapun, kedua-dua fasiliti berkenaan dilaporkan masih beroperasi seperti biasa,” katanya. – Malaysiapost

