YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan semua Ahli Parlimen yang mula bersidang dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-14 hari ini supaya mengurangkan berpolitik dan memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat.
Seperti tradisi Baginda sebelum ini, titah nasihat itu disampaikan melalui dua rangkap pantun ketika merasmikan mesyuarat berkenaan di di Dewan Rakyat, hari ini.
Baginda mengucapkan selamat bersidang kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat dan berharap semoga Persidangan Penggal Kelima ini bakal mencipta landasan ke arah memartabat dan mendaulatkan negara yang tercinta.
Baginda turut berdoa semoga Malaysia dan rakyat yang dikasihi akan terus diberkati dan dianugerah oleh Allah SWT dengan taufik dan hidayah, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindungan-Nya.
“Ahli-Ahli Yang Berhormat, bagaikan tidak lengkap jika Beta tidak menyampaikan pantun nasihat buat Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Justeru sebagai meneruskan tradisi tahun lepas, sebelum ini, Beta mengakhiri titah ini dengan dua rangkap pantun.
“Gunung Kinabalu sama didaki, Sungai Pahang sama direnang,
Jikalau semua bersatu hati, kerja yang susah menjadi senang.
“Busana tradisi kain bersulam, warnanya jingga berawan larat,
Cukuplah berpolitik siang dan malam, fokuskan menjaga kepentingan rakyat,” titahnya.
Terdahulu Baginda turut menzahirkan penghargaan diatas taat setia dan sumbangan ikhlas semua barisan petugas hadapan negara, anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta agensi kerajaan yang telah mencurahkan khidmat bakti sehingga menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan makmur.
“Sumbangan mereka ini amatlah besar dan ‘beyond the call of duty’ semoga mereka semua terus komited, berdedikasi dan fokus untuk sentiasa menambah baik kualiti perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat Beta.
“Pada masa sama kebajikan anggota perkhidmatan awam juga hendaklah terus di bela baik dari segi kesihatan, pendidikan, perumahan dan bantuan Kebajikan merangkumi anggota yang sedang berkhidmat mahupun yang telah bersara termasuklah veteran ATM,” titahnya.
Sidang Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 16 hari sehingga 24 Mac, manakala Mesyuarat Dewan Negara yang dirasmikan serentak hari ini akan berlangsung selama sembilan hari bermula 21 Mac. – Malaysiapost

