KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mula mengagihkan bantuan kewangan khas bermula Mac ini kepada lebih 20,000 penggiat industri pelancongan bagi membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Bantuan kewangan berkenaan adalah usaha berterusan kerajaan bagi membantu sektor pelancongan yang merupakan antara segmen yang sangat terjejas.
Dalam satu kenyataan hari ini, MOTAC memaklumkan sebanyak RM9,000 diberikan kepada syarikat pengendalian pelancongan (TOBTAB) dan syarikat Malaysia Mysecond home (MM2H).
“Manakala Spa dan Pusat Urutan Kaki (PUK) menerima sebanyak RM3,000. Bagi Pemandu Pelancong, mereka akan menerima sebanyak RM1,500 dan pengusaha Inapdesa (Homestay) sebanyak RM1,800,” menurut kenyataan itu.
Menurut MOTAC, bayaran berkenaan akan dilaksanakan sebanyak dua kali pada Mac dan Mei ini.
Kementerian itu berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk meringankan beban yang dihadapi oleh penggiat industri pelancongan negara susulan impak pandemik Covid-19.
“Justeru, MOTAC menyasarkan tahun 2022 merupakan masa untuk industri bangkit semula daripada kegawatan perniagaan yang dialami sejak dua tahun lepas.
“Berikut dengan itu, menerusi Ucapan Bajet 2022, Kerajaan telah mengumumkan berkenaan pemberian Bantuan Khas kepada lebih 20,000 pengusaha pelancongan yang berdaftar di bawah MOTAC dengan peruntukan sebanyak RM85 juta,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pada tahun 2021, kerajaan melalui MOTAC telah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM61 juta yang dapat memanfaatkan seramai 29,286 penggiat industri pelancongan.
“Justeru, diharap inisiatif ini dapat membantu industri pelancongan negara untuk terus berdaya saing seterusnya dapat membantu memulihkan semula sektor pelancongan Negara.
“MOTAC juga telah menambahbaik kriteria pemohon agar lebih ramai pengusaha pelancongan dapat mendapat manfaat daripada bantuan ini,” katanya.
Sehubungan itu, MOTAC menyeru semua pemandu pelancong, Syarikat TOBTAB, MM2H, Pengusaha Spa dan PUK serta pengusaha homestay yang layak mengambil peluang ini untuk mengemukakan permohonan kepada pihak MOTAC melalui permohonan atas talian.
“Maklumat lanjut mengenai Bantuan Kewangan Tahun 2022 ini termasuklah pautan permohonan, boleh dilayari di laman sesawang rasmi MOTAC di www.motac.gov.my.
“Tarikh permohonan Syarikat TOBTAB, MM2H dan Pengusaha Spa dan PUK telah ditetapkan pada 1 hingga 15 Mac 2022.
“Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada Pejabat MOTAC Negeri yang berdekatan,” katanya. – Malaysiapost

