MESYUARAT Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 yang akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata dua fokus utama akan dibincangkan dalam persidangan yang bermula hari ini.
“Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bermula hari ini dan akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Antara yang akan menjadi fokus persidangan kali ini ialah pembentangan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dan Had Penggal Perdana Menteri selain dari membincangkan Usaha pemulihan negara menuju fasa endemik.
“Semoga segalanya berjalan lancar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sidang Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 16 hari sehingga 24 Mac, manakala Mesyuarat Dewan Negara yang dirasmikan serentak hari ini akan berlangsung selama sembilan hari bermula 21 Mac.
Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke-14 akan bermula jam 10 pagi ini dan boleh diikuti melalui pelbagai saluran termasuk You Tube rasmi Parlimen Malaysia dan Portal Rasmi Parlimen Malaysia. – Malaysiapost

