Polis cari lelaki pukul pemandu van

0
1

POLIS kini mengesan individu yang terbabit dalam kes seorang pemandu van dipukul Jalan PUJ 3, Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, di Serdang yang video kejadian itu tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, berkata video berdurasi 21 saat itu tular menunjukkan seorang lelaki menumbuk pemandu van berkenaan beberapa kali dan menarik mangsa keluar daripada kenderaan.

“Dalam rakaman video tersebut juga mengeluarkan kata-kata ‘nak lagi tak, nak lagi tak’ sambil menumbuk mangsa beberapa kali dan menarik keluar mangsa dari van sehingga jatuh ke tengah jalan,” katanya dalam kenyataan.

Anbalagan berkata, punca kejadian masih tidak dapat dikenal pasti kerana sehingga kini tiada sebarang laporan polis dibuat kedua-dua pihak.

“Bagaimanapun, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan terhadap kejadian itu.

“Kami memohon kerjasama individu yang terbabit dalam kejadian ini atau orang awam yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Sophian Sian di talian 016-5092654 atau Bilik Gerakan IPD Serdang di talian 03-80742222 untuk tindakan lanjut.

Terdahulu dalam rakaman video yang tular itu, lelaki yang menaiki kereta Proton Saga BLM berkenaan dilihat menumbuk seorang pemandu van dan menariknya keluar dari kenderaan.

Sebaik sahaja pemandu van ditarik ke luar ke tengah jalan, suspek turut dilihat membuka langkah silat sambil mengertak untuk memukul mangsa lagi.

Kejadian itu dirakam oleh pengguna jalan raya lain yang menyaksikan pergaduhan itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here