Bukan program DAP sahaja dipantau polis – Zahida

0
1

TINDAKAN Timbalan Setiausaha Agung DAP, Teresa Kok mempertikaikan tindakan polis tidak membenarkan satu program ceramah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di Yong Peng kelmarin, dilanjutkan dilihat sebagai tidak bertanggungjawab.

Ahli Parlimen Seputeh yang juga bekas Menteri Industri Utama itu turut dikatakan mengugut Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan tidak dibenarkan program yang sepatutnya tamat jam 10 malam dilanjutkan hingga ke 10.30 malam.

Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, bukan hanya program DAP sahaja yang dipantau pihak polis kerana program Umno juga diarah berhenti bila sampai masa.

“Bezanya kami akur dan hormati tugas PDRM. Tak perlu sampai nak buat ugutan ataupun mengajar mereka.

“Adakah DAP mahu pihak polis tutup mata jika kalian buat kesalahan langgar prosedur operasi standard (SOP)?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Zahida turut berkongsi rakaman video yang tular di media sosial memaparkan Teresa meminta pihak polis membenarkan program dihadirinya dilanjutkan hingga ke 10.30 malam tetapi tidak dibenarkan.

“Nampak YB (Yang Berhormat) stress. Mungkin kena amalkan semula minum sesudu sawit,” sindir Zahida.

Terdahulu, dalam video berkenaan Teresa dirakam mengatakan bila partinya menjadi kerajaan SOP sedemikian tidak akan dibuat.

“Saudara-saudari yang saya hormati sekalian, saya tahu saya tidak boleh cakap panjang kalau ikut SOP ditetapkan, tetapi saya nak minta pihak polis kerana ceramah kita ini mula lewat, kita mula pada 8.30 malam. Jadi kita sepatutnya berakhir pada 10.30 malam.

“Jadi saya nak panjangkan pada pihak polis jangan ganggu bagi kita sedikit masa lagi. Jadi polis sudah setujukan?” katanyanya.

Kedengaran dalam video berkenaan seorang lelaki dipercayai polis menjawab tidak boleh.

“Eh polis sini simpati sedikitlah, kita mula lewat jadi benarkanlah berakhir lewat sedikit kerana saudara Anthony Loke sudah sampai.

“Boleh? Tak boleh…Tunggulah bila kami jadi kerajaan kita tidak akan buat SOP macam ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here