SARANAN Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar pimpinan utama negara menggunakan Bahasa Melayu bagi urusan rasmi kerajaan khususnya di persidangan antarabangsa, dilihat satu langkah proaktif dalam memartabatkan Bahasa Kebangsaan di mata dunia.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah, berpendapat ia adalah salah satu cara bagi memperkenalkan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, negara lain seperti Jepun, Russia, Korea dan Jerman turut menggunakan bahasa kebangsaan mereka dalam urusan rasmi di luar negara.
“Jika kita kaji, banyak lagi negara-negara maju seperti Jepun, Korea, Russia , Jerman dan banyak Lagi yang menggunakan bahasa kebangsaan mereka di siri lawatan rasmi mereka ke mana-mana negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut bersetuju dengan pendapat Dewan Bahasa dan Pustaka serta Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bahawa saranan itu bukan langkah ke belakang dan masalah.
Menurutnya, dengan kecanggihan teknologi ketika ini ia tidak menghalang untuk menterjemahkan Bahasa Melayu dalam tempoh singkat dalam apa jua bahasa yang digunakan.
“Sama-sama kita terus martabatkan Bahasa Melayu kita,” katanya. – Malaysiapost

