Tanding calon bebas, Najib Lep digugur sebagai Ahli PAS

0
1

KEAHLIAN PAS bagi penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir, Najib Lep yang bertanding sebagai calon Bebas di kerusi itu dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor digugurkan secara automatik.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata keputusan Najib yang sekaligus menentang calon PAS Nur Iqbal Abd Razak mewakili Perikatan Nasional itu bertentangan dengan arahan dan keputusan parti.

“Saya tegas bahawa semua ahli parti mesti akur keputusan parti.

“Tindakan beliau (Najib Lep) secara automatik telah gugurkan diri sebagai ahli parti dan semua ahli, penyokong PAS diminta memberi undi kepada calon PAS mewakili PN dalam PRN Johor termasuk di DUN Bukit Pasir,” katanya memetik laporan FMT.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, peringkat awal parti telah mencalonkan beliau di DUN lain bagi menghadapi PRN Johor selepas membuat kajian kemampuannya memenangi kawasan yang dipindahkan, bagaimanapun ditolak.

“Parti telah mencalonkan beliau di DUN lain yang lebih (baik) baginya (untuk menang) dalam kajian yang dilakukan, namun beliau menolak dan ingin kekal di kawasan lama dan ini bercanggah dengan keputusan parti yang mengambil kira semua faktor.

“Sebagai bekas Naib Yang Dipertua kawasan, beliau harus mematuhi keputusan parti yang terbukti manfaat untuk beliau,” katanya.

Semalam, Najib membuat kejutan dengan mencalonkan dirinya sebagai calon Bebas di kerusi DUN Bukit Pasir.

Beliau akan berdepan pertembungan enam penjuru termasuk melawan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga daripada komponen PAS, selain bersaing dengan calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Pejuang) dan seorang lagi calon Bebas. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here