KOMPAUN yang dikenakan terhadap seorang wartawan pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam, dibatalkan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Khairy berkata, keputusan itu dibuat setelah beliau meneliti laporan yang dikeluarkan dan ternyata bukan salah wartawan tersebut.
“Saya dah minta saman itu dibatalkan kerana tengok balik laporan itu bukan salah dia.
“Saya beritahu pada penguatkuasa sekiranya wartawan buat kerja dan ini bukan salah dia maka tidak perlu,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian pada Sidang media selepas lawatan ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Klinik Kesihatan Simpang Renggam hari ini.
Tambahnya, mereka seharusnya diberi amaran dan teguran terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kompaun kepada wartawan.
Semalam, media melaporkan seorang wartawan akhbar Sin Chew Daily, Wong Kian Yong, 42, dikompaun RM1,000 kerana tidak menjaga penjarakan fizikal ketika menjalankan tugas di Dewan JKR dekat Larkin, Johor. – Malaysiapost

