Mangsa banjir di Terengganu terus meningkat

0
1

JUMLAH mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 5,722 orang, berbanding 4,697 orang sebelum ini susulan hujan lebat berterusan.

Kesemua mangsa daripada 1,736 keluarga itu dipindahkan ke 102 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah di negeri ini.

Ia menunjukkan pertambahan mangsa sebelum ini yang membabitkan 1,435 keluarga yang ditempatkan di 98 PPS.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, hanya daerah Kuala Terengganu menunjukkan penurunan jumlah mangsa manakala daerah Kuala Nerus dan Marang masih kekal.

Bagaimanapun, lima daerah lain merekodkan pertambahan mangsa yang terjejas akibat bencana.

Daripada jumlah itu, Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi apabila 521 keluarga membabitkan seramai 1,924 mangsa ditempatkan 19 PPS.

Sebelum ini, mangsa banjir di Kemaman menurun apabila iaitu seramai 1,790 mangsa daripada 486 keluarga berada di 19 PPS.

Seramai 1,039 orang daripada 317 keluarga dipindahkan ke 25 PPS di Setiu manakala keadaan banjir di Hulu Terengganu juga turut merekodkan pertambahan mangsa yang kini mencecah seramai 1,001 mangsa membabitkan 429 keluarga di 16 PPS.

Jumlah mangsa di Dungun juga menunjukkan pertambahan kepada 804 mangsa yang ditempatkan di 11 PPS berbanding hanya 236 mangsa di tujuh PPS sebelum ini.

Peningkatan jumlah mangsa turut berlaku di Besut apabila 24 PPS dibuka bagi menempatkan 709 mangsa daripada 148 keluarga.

Sementara itu, di Kuala Nerus, sebanyak 63 keluarga membabitkan 202 mangsa masih berada di lima PPS manakala Marang kekal dengan lima mangsa daripada satu keluarga berada di sebuah PPS.

Di Kuala Terengganu, jumlah mangsa banjir menurun kepada 38 mangsa daripada sembilan keluarga berbanding seramai 54 mangsa daripada 12 keluarga sebelum ini.

Keadaan cuaca ketika ini adalah hujan lebat di kebanyakan daerah di Terengganu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here