Loji simulasi hiliran industri minyak dibangunkan di Pasir Gudang 

0
1

UNIVERSITI Kuala Lumpur kampus cawangan Malaysian Institute of Industrial Technology (UniKL MITEC)  membangunkan Loji Simulasi Hiliran Bersepadu berkaitan industri minyak dan gas bernilai RM 7.1 juta di Pasir Gudang, Johor.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata fasiliti tersebut akan mula beroperasi sepenuhnya pertengahan tahun ini.

Menurutnya, ia dilengkapi tiga unit utama iaitu Unit Mini Loji Kuasa Stim, Unit Simulasi Penyulingan Minyak Mentah dan Unit Latihan Loji Perintis Hydrotreater.

Katanya, UniKL Mitec akan terus memperkasakan fasiliti latihan bagi pelajarnya yang mengikuti pengajian dalam bidang berkaitan industri minyak dan gas.

“Justeru, kita mendedahkan para pelajar kepada fasiliti sebenar yang digunakan dalam industri penapisan petroleum bagi meningkatkan tahap kemahiran selari dengan keperluan industri.

“Walaupun sebagai unit simulasi, fasiliti ini mampu beroperasi seperti operasi sebenar di industri penapisan petroleum,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Loji Simulasi Hiliran Bersepadu di kampus UniKL Mitec,  hari ini.

Jelas Mahdzir, pembinaan fasiliti itu bertujuan untuk melatih lebih ramai tenaga berkemahiran tinggi dalam bidang operasi, penyelenggaraan dan keselamatan loji industri minyak dan gas.

“Ia dilengkapi sistem pengesan keselamatan, kebakaran dan kebocoran gas yang merupakan salah satu kandungan utama dalam silibus pembelajaran di UniKL MITEC.

“Fasiliti bernilai RM7.1 juta ini merupakan satu-satunya fasiliti setaraf standard sebenar industri penapisan petroleum yang ada di  sesebuah universiti di Malaysia.

“Ianya berupaya memisahkan dua bahan cecair yang bercampur melalui Unit Simulasi Penyulingan Minyak Mentah dan memisahkan bahan cecair dan gas yang bercampur melalui Unit Latihan Loji Perintis Hydrotreater,” katanya.

Beliau berkata, dengan fasiliti itu juga,  membolehkan pelajar UniKL Mitec diiktiraf Persijilan Kompetensi Industri seperti Penganalisa Getaran Tahap 1 yang dikeluarkan oleh Institut Mobius dari Australia serta latihan operasi loji bersama pihak Institut Teknologi Petronas (INSTEP).

“Fasiliti yang disediakan ini membolehkan pelajar UniKL MITEC  relevan dengan industri dan seterusnya memberikan jaminan peluang pekerjaan yang tinggi bukan sahaja di dalam negara malah di seluruh dunia,” katanya.

Untuk rekod, UniKL Mitec mencatat peningkatan kadar purata kebolehpasaran graduannya sebanyak 97.7 peratus pada tahun 2020 berdasarkan Laporan Kajian Pengesanan Graduan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here