PKRC Maeps beroperasi semula – KJ

0
1

PENGOPERASIAN semula Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) bermula hari ini bukan disebabkan katil di hospital tidak mencukupi, tetapi bagi melancarkan perkhidmatan dan rawatan bukan Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pembukaan semula PKRC Maeps bertujuan sebagai langkah ‘preemptive’ dan memberi perhatian kes bukan Covid-19 terutamanya kes-kes elektif.

“Ini lebih kepada langkah preemtif dan memberi kita persediaan supaya hospital yang sudah mula memberi perkhidmatan dan rawatan bukan Covid terutamanya kes-kes elektif yang telah tertangguh selama dua tahun tidak terganggu dengan peningkatan kes kes Covid disebabkan gelombang Omicron.

“Kemasukan ke Maeps lebih kepada kes yang berisiko rendah dan step down care,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah tersebut sebagai strategi menangani gelombang Omicron dengan mewujudkan katil berisiko rendah yang akan digunakan untuk tempoh lebih singkat berbanding sewaktu gelombang Delta.

“Maeps beroperasi bermula esok (hari ini) dengan 100 katil. Dahulu pada kemuncak gelombang Delta Maeps ada 10,000 katil. Kini kita ada persediaan 800 katil sekiranya diperlukan.

“Ini bagi memastikan kapasiti katil dijaga di Lembah Klang, dan rawatan bukan Covid dapat diteruskan tanpa gangguan,” katanya.

Rabu lalu, tular di media sosial beberapa video dan gambar menunjukkan fasiliti berkenaan sedang dipersiapkan untuk kembali beroperasi termasuk penyusunan katil-katil.

Kes baharu Covid-19 di Malaysia dilaporkan terus mencatatkan peningkatan mendadak dengan 32,070 kes semalam, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif jangkitan sebanyak 3,337,227 kes sejak virus maut itu melanda negara.

Ia juga menyaksikan Malaysia melaporkan kes harian melebihi angka 20,000 untuk 14 hari berturut-turut sejak 11 Februari lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here