Tun M Meludah ke langit – Mohd Razlan

0
1

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Razlan Rafii mendakwa apa yang dilakukan oleh Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ini hanyalah sekadar menabur hasutan hasad dengki.

Menurutnya, Ahli Parlimen Langkawi itu bersama beberapa pihak lain dilihat berpolitik bukan mahu membela rakyat, tetapi semata-mata bercakap untuk meletakkan kebencian terhadap perbuatan mereka sendiri.

Mohd Razlan mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir, hari ini yang menyindir bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan memberikan contoh ekstrim pemimpin negara berbogel dan kencing di khalayak awam ketika kawad.

“Siapakah yang Tun M (Dr Mahathir) sebenar-benarnya maksudkan? Adakah beliau sudah terlupa bahawa perjanjian beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Bekas Banduan) sebanyak dua kali yang beliau maksudkan itu?

“Yang melepaskan banduan dari penjara adalah Tun M bersama-sama dengan Muhyddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Lim Guan Eng, Mat Sabu (Mohamad Sabu) dan Azmin Ali (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali).

“Mereka semua ini terlibat sama melepaskan banduan dari Penjara Kajang, dan banduan ini akan diangkat oleh PH (Pakatan Harapan) sebagai Perdana Menteri mereka,” katanya di Facebook, hari ini.

Mohd Razlan mengumpamakan tindakan Dr Mahathir itu tidak ubah seperti ‘meludah ke langit’ dan adakah Malaysia akan mendapat pemimpin ‘bogel’ seperti yang dimaksudkan oleh beliau.

“Malaysia bernasib baik kerana PH tidak memerintah selama satu penggal, sekiranya ia berlaku, dan mengikut perumpamaan Tun M, Malaysia akan mendapat pemimpin bogel PH.

“Sudah terang lagi bersuluh apa yang mahu dilakukan oleh Tun M dan rakan-rakan mereka, sekadar menabur hasutan hasad dengki.

“Berpolitik bukan mahu membela rakyat, tetapi semata-mata bercakap untuk meletakkan kebencian terhadap perbuatan mereka sendiri,” katanya.

Sementara itu, Najib dalam satu hantaran di Facebook turut memberi maklum balas terhadap sindiran bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu yang menyifatkan ia semakin ‘panas’.

“Makin tak steady dia ni. Makin saya dedahkan bukti-bukti dan kisah-kisah kroni dia, makin panas dia pada saya. Sehingga bahasa pun tak terjaga dan makin kasar.

“Bogel, kencing, semua dah keluar,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here