Pilih terima bantuan banjir secara tunai punca sesak – MB Selangor

0
1

MAJORITI penerima bantuan banjir bagi daerah Klang memilih untuk menerima bantuan secara tunai berbanding pemindahan dana elektronik (EFT).

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keadaan itu menyebabkan penerima perlu beratur panjang di tempat pemberian bantuan yang disediakan.

“Saya mengambil maklum balas ramai tentang pemohon bantuan banjir yang beratur panjang semalam.

” Pihak Pejabat Daerah Tanah (PDT) Klang memberi pilihan kepada pemohon untuk sama ada menerima tunai atau secara EFT ke dalam akaun bank mereka.

“Namun majoriti pemohon memilih untuk datang mengambil tunai dan ini menyebabkan barisan yang panjang di tempat yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, keadaan menjadi sukar dikawal berikutan majoriti penduduk memilih untuk hadir beberapa jam lebih awal berbanding janji temu yang diberikan melalui SMS yang mereka terima.

“Saya memohon agar pemohon yang masih belum menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) untuk menepati waktu janji temu yang ditetapkan melalui SMS yang dikirim kepada pemohon.

“Insya-Allah dengan kerjasama dan persefahaman semua pihak, penyaluran BSB akan menjadi lebih lancar dan selesai mengikut garis masa yang ditetapkan,” katanya.

Amirudin dalam satu kenyataan sebelum ini, memaklumkan proses penyaluran BSB bagi mangsa banjir daerah Klang dan Petaling yang terjejas akibat bencana itu pada Disember lalu mengalami sedikit kelewatan berikutan permohonan tinggi.

Menurutnya, permohonan di Klang mencecah 30,000 dengan anggaran 1,000 pemohon menerima BSB setiap hari. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here